THE HARLOT PRAYERS : TUHAN IZINKAN AKU BERDOSA

   

THE HARLOT PRAYERS : TUHAN IZINKAN AKU BERDOSA


        Tuhan, Izinkan Aku Berdosa  adalah sebuah filem Indonesia tahun 2023 yang diarahkan oleh Hanung Bramantyo. Filem yang diadaptasikan dari novel berjudul Tuhan, Izinkan Aku Menjadi Pelacur! karya Muhiddin M Dahlan yang diterbitkan pada tahun 2003 mengisahkan tentang wanita muda bernama Kiran. Sejak remaja lagi Kiran merupakan pelajar yang cemerlang dan patuh pada perintah agama.  Dia melanjutkan pengajian ke universiti dalam jurusan Agama Islam dan sering menjadi pelajar contoh di dalam kuliah atau assignment. Keluarganya bukan orang senang dan segala wang telah dilaburkan untuk perbelanjaan Kiran di universiti walaupun ayahnya yang sedang sakit lebih memerlukan.

    Disebabkan keadaan yang mendesak, dia terpaksa menyewa di rumah Ami, seorang pelacur dan membuka salon di rumah. Sewa di situ lebih murah walaupun berisiko diganggu oleh pelanggan Ami yang datang. Sering juga rumah Ami didatangi kariah masjid yang mencela perbuatannya namun tak pernah diendahkan oleh Ami selagi tidak membahayakan orang lain. Kiran juga tidak pernah berkata apa tentang pekerjaan Ami. 

Apabila Kiran memilih untuk duduk bersama dengan rakan universiti yang lain, mereka dengan senang hati menerima tapi dengan syarat, Kiran perlu berkahwin dengan Abu Darda (Ridwan Roull Rohaz), ketua organisasi pejuang Islam. Awalnya Kiran setuju tapi apabila dapat tahu tentang status Abu Darda yang sudah beristeri dan pandai mengambil kesempatan, dia lari keluar dari organisasi tersebut. Keluarganya menganggap Kiran sebagai manusia penipu juga pengkhianat agama dan nama baiknya juga rosak di kampus. Sejak daripada peristiwa hitam tersebut, perspektif Kiran terhadap akidahnya menjadi berbolak balik sehingga Kiran membuat keputusan untuk menceburi dunia kemaksiatan dan meninggalkan segala kehidupannya yang sentiasa taat kepada Tuhan.

    Antara kritikan yang saya ingin nyatakan adalah keberanian penerbit dalam membawa isu sensitif yang sangat berat yang membongkar kisah kemunafikan di sebalik para agamawan dan ahli politik yang menyembunyikan diri mereka sebagai seorang yang alim. selain itu, pada pendapat saya filem ini mengeksplorasi isu moraliti, dosa, dan pengampunan dengan cara yang jarang terlihat dalam adegan terakhir namun, beberapa pengkritik merasa bahawa pendekatan yang diambil masih setengah hati dan tidak sepenuhnya menembus batas moraliti yang ingin disampaikan. Filem ini sebaiknya ditonton oleh mereka yang memiliki pemahaman dan keimanan yang kuat kerana konten filem mungkin memerlukan kedewasaan dalam menafsirkannya.
 
   Secara keseluruhan, Tuhan, Izinkan Aku Berdosa adalah sebuah karya yang berani mengangkat isu-isu sensitif dalam masyarakat. Meskipun menerima pelbagai kritikan, filem ini berhasil memancing perbincangan mendalam dan refleksi mengenai kemunafikan, moraliti, dan peranan agama dalam kehidupan sosial.

TULIPS


Comments

Popular Posts