ISU BAHASA: PENCABULAN BAHASA DALAM IKLAN DAN PAPAN TANDA
PENCABULAN BAHASA DALAM IKLAN
DAN PAPAN TANDA
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih menghadapi cabaran walaupun telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Antara isu utama ialah kelemahan penguasaan bahasa, pencampuran bahasa dan slanga dalam iklan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang, serta sikap masyarakat yang kurang prihatin terhadap kesalahan bahasa. Perkembangan bahasa pijin, iaitu bentuk bahasa yang ringkas dan mengetepikan aspek tatabahasa lazimnya dituturkan oleh warga asing atau bukan penutur asal memburukkan lagi nasib bahasa kebangsaan. Sikap ambil mudah tentang penggunaan bahasa yang betul ini bukan sahaja dari segi komunikasi harian, tetapi turut melibatkan papan tanda iklan, nama premis dan lain-lain lagi yang gah terpampang di depan mata, namun “dimaafkan” lalu menjadi norma dalam masyarakat.
DBP menghadapi kekangan kerana tidak mempunyai kuasa penuh untuk bertindak, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) sering gagal memastikan iklan mematuhi peraturan bahasa. Persepsi bahawa bahasa Melayu kurang bernilai ekonomi turut menyukarkan usaha memartabatkan bahasa ini. Penyelesaian yang dicadangkan termasuk memberikan kuasa penuh kepada DBP, memperketat penguatkuasaan undang-undang, dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memelihara kemurnian bahasa Melayu. Kerjasama semua pihak diperlukan bagi menjadikan bahasa Melayu lambang identiti dan perpaduan negara.
TULIPS



Comments
Post a Comment