DRAMA KOREA: CRASH LANDING ON YOU

 CRASH LANDING ON YOU

      “Crash Landing on You” ialah drama Korea Selatan yang mengisahkan percintaan unik antara Yoon Se-ri, seorang pewaris kaya dari Korea Selatan, dan Ri Jeong-hyeok, seorang tentera Korea Utara. Kisah bermula apabila Se-ri secara tidak sengaja terjatuh ke wilayah Korea Utara selepas kemalangan semasa paragliding. Dia bertemu dengan Jeong-hyeok, seorang kapten yang berpegang teguh kepada tugasnya. Jeong-hyeok berusaha melindungi Se-ri dan membantunya kembali ke Korea Selatan, namun hubungan mereka berkembang menjadi percintaan yang penuh cabaran kerana perbezaan politik, budaya, dan risiko besar yang mengancam nyawa mereka. Drama ini mengetengahkan isu kemanusiaan, hubungan antara dua Korea, serta kehidupan rakyat biasa di Korea Utara, sambil disulami unsur komedi, emosi, dan ketegangan politik.

      Perkara yang ingin saya kritik ialah gambaran kehidupan di Korea Utara secara idealistik dan kurang realistik. Contohnya, perkampungan tempat Jeong-hyeok tinggal dilihat harmoni dan damai, sedangkan realiti sebenar di Korea Utara sering dilaporkan sebagai penuh kekangan dan kekurangan. Saya juga melihat terdapat beberapa bahagian dalam jalan cerita yang dianggap tidak logik, seperti kemudahan Se-ri menyesuaikan diri dalam masyarakat Korea Utara dan keupayaan Jeong-hyeok untuk berulang-alik ke Korea Selatan tanpa dikesan. 

       Namun, walaupun terdapat kritikan, “Crash Landing on You” tetap berjaya memenangi hati penonton global dengan gabungan emosi, percintaan, dan nilai kemanusiaan yang kuat. Ia juga menjadi simbol harapan untuk hubungan yang lebih baik antara Korea Utara dan Selatan. Satu perkara yang menarik minat saya untuk terus menonton drama ini ialah plot yang unik dan menarik kerana jalan cerita cinta antara seorang pewaris kaya dari Korea Selatan dan seorang askar Korea Utara menawarkan perspektif yang jarang dijelajahi dalam drama. Gabungan elemen romantik, komedi, dan ketegangan politik menjadikannya menarik. Kimia pelakon utama yang sangat serasi dan tidak janggal iaitu lakonan Hyun Bin (Kapten Ri Jeong-hyeok) dan Son Ye-jin (Yoon Se-ri) sangat meyakinkan, membuat penonton benar-benar terbawa dengan hubungan mereka.


TULIPS~





Comments

Popular Posts